Sunday, September 6, 2009

Yugoslavia

Pak Su di sini kerana dua hari itu yang berbekas begitu dalam dalam hidupnya. Telah dua tahun di Aachen, sebuah bandar desa yang sungguh indah di tengah Germany dan sedetik pun tak pernah Pak su bebas dari bayang Lisa.

Kini Pa Su kembali ke Lovienna, sebuah bandar cinta yang menjebak Pak Su dan Lisa. Bandar itu terletaknya Austria Embassy di Yugoslavia.

Pak Su tidak sengaja menjejak kaki ke sini dulu dan ianya berlaku sebab rakyat Malaysia memerlukan Visa untuk masuk ke Austria.

Di Lovienna, Pak Su tiba-tba gentar dengan ikrar dan nekad yang telah menjadi jiwanya untuk menapak lagi dan lagi.

Pak Su dan Lisa telah saling jatuh cinta, cinta yang amat dalam. Lisa ingin mengikut Pak Su bersama meredah kembara tetapi Pak Su segera tidak bersetuju kerana Pak Su tidak sanggup mungkir janji pada diri sendiri.

Kali ini Pak su akan menemui Lisa untuk menunaikan janji untuk membawa Lisa ke tempatnya bila Pak Su telah bertemu tempat yang mendamaikannya.

Lisa mengaku tertarik kepada Paksu hanya kerana setiap kata-kata yang terbit dari mulut Pak su, semuanya kedengaran dan kelihatan begitu ikhlas, hingga mencuit hati Lisa dan kekadang membuat Lisa keras perut dengan Pak Su.

Pada ketika Lisa tak sedar masa berjalan, Pak Su yang tak biasa minum sambil berdiri begitu lama tidak pula terasa penat. Itulah pertama kali Pak Su minum kopi pekat dalam cawan kecil yang dipanggil 'expresso' yang dicadangkan Lisa.

Sedar tak sedar masa berlalu begitu pantas dan akhirnya Lisa mempelawa Pak Su tinggal di rumahnya sementara menanti visa yang akan dikeluarkan oleh kedutaan.

Darah muda Lisa segera mencari jalan untuk rapat dengan Pak Su dan pada penghujung episod cinta dua malam itu akhirnya berakhir dengan pujukan dan tangisan merayu Pak Su untuk tetap bersamanya di Lovienna.

Ketika pertama kali menjejak kaki ke Lovienna, Pak Su tidak sangka gadis kecil molek yang turun dari kereta kecil buatan Russia yang dipanggil 'Lada' untuk membeli majalah rupa-rupanya seorang yang amat baik dan bersopan santun, Lisa menghulurkan bantuan untuk menumpangkan Pak Su ke pejabat kedutaan dan membantu Pak Su dalam urusan visa di kedutaan Austria.

Lisa seorang guru Bahasa Inggeris di Lovienna, berambut ikal gelap kebiru-biruan dan bermata tajam kehijauan. Lisa tidak tahu apa-apa mengenai agamanya tetapi menurut Lisa, nenek moyangnya adalah Islam.

Lisa ingin mencari pegangan dan Lisa tiada siapa-siapa untuk berpaut mencari haluan.

Lisa ingin mengikut Pak Su kemana sahaja tetapi Pak Su masih belum pasti apakah bentuk jalan dihadapan. Pak Su belum tahu samada ianya akan selamat, senang atau sukar dan Pak Su belum bersedia meletakkan Lisa dalam ketidaktentuan itu.



Belgrade 1977. Daripada Belgrade Pak Su bercadang ke Austria tetapi tanpa dirancang Pak Su terpaksa ke Lovienna dan menemui Lisa.

Saturday, September 5, 2009

Pak Su

Sebaik sampai di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Kedah, Pak Su memberi isyarat tangan meminta pemandu yang mengambilnya dari rumah ke airport pergi tanpa perlu menemaninya.

Pak Su selesa sendiri dan Pak Su telah lama sendiri menginjak seluruh pelusuk dunia dengan tanpa bekal, tanpa wang, tanpa sesiapa hanya dengan harta akal dan keperibadian.

Pak Su pernah berkaki ayam, menyarung but pejuang PLO juga but keselamatan di dapur seluruh pelusuk dunia arab dan eropah.

Pak Su tak pernah gentar menikmati hidangan di restoran tanpa wang dan kebanyakan restoran yang Pak Su makan akan menjadi tempat kerjanya dan akan menghalang Pak Su dari pergi bila Pak Su rasa mahu pergi lagi.

Jangan siapa tentang, jangan siapa halang, Pak Su tak peduli apa dan sesiapa, Pak Su hanya ingin berjalan melihat dan merasai bumi Tuhan.